Pentingnya Keberkahan dalam Kehidupan Setiap Insan
Berkat maknanya
bertambah atau subur. Apabila dikatakan hidupnya berkat, maknanya
hidupnya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan penuh
dengan pahala. Hartanya berkat, harta yang tidak putus-putus dapat
disalurkan kepada kebaikan dan berpahala walaupun dia bukan orang kaya.
Ilmunya berkat, maknanya ilmu yang dimilikinya itu dapat diamalkan,
bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan
pahala.
Badannya yang
sihat yang dikatakan berkat itu adalah badan yang dapat digunakan untuk
kebaikan. Dengan kesihatan badannya itu, digunakannya untuk jihad
fisabilillah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan
pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang Allah untukkan padanya, dapat
digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa percuma dengan perkara
yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya bertambah. Kalaupun
umurnya tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepadanya itu akan
menambahkan pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak putus-putus
sekalipun tidak kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat
menambahkan pahala.
Berkat pada
anak-anaknya atau zuriat ertinya, anak-anak dan cucu cicit berjaya
menjadi anak-anak yang soleh, yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat
pada isterinya atau suaminya, iaitu isteri tersebut atau suami itu soleh
dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan
di Akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran, ertinya mendapat
sahabat yang baik-baik dan ramai pula yang membantu perjuangannya untuk
menegakkan kebenaran. Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang
soleh yang dapat memimpin dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.
Sumber: Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
Pentingnya Keberkahan dalam Kehidupan Setiap Insan
Reviewed by Saida Waliya
on
4:34:00 PM
Rating:
No comments: